Sunday, 28 October 2012

UCAPAN AKHIR TAHUN 2012


Kita sudah di penghujung semester, peperiksaan akhir akan bermula pada 26 Oktober dan semester sekarang akan berakhir pada 9 November. Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan. Mudah-mudahan semua akan lulus. Para pelajar semester akhir dan mereka yang lulus akan meninggalkan institut ini untuk memasuki alam pekerjaan. Sebelum ditempatkan, tuan/puan perlu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). SPP akan menemuduga tuan/puan untuk dinilai. Mereka yang berjaya akan ditempatkan di sekolah mengikut keperluan/kekosongan. Justeru, tuan/puan perlu melengkapkan diri dan bersedia untuk menghadiri temuduga tersebut. Kita harus bersikap positif, tidak kira di mana kita ditempatkan, yang penting kita dapat berbakti mendidik para murid kita. Didiklah murid tuan/puan dengan kasih sayang. Itulah adalah ibadah. Semuga tuan/puan akan terus maju jaya sebagai guru.

Pada pagi 9 November, kampus akan menganjurkan satu program khas untuk pelajar semester akhir. Program persediaan sebelum meninggalkan kampus, dan berkhidmat di sekolah. Saya harap semua akan hadir kerana ianya amat berguna untuk tuan/puan melangkah ke alam kerjaya guru.

Bagi mereka yang bukan di semester akhir, saya ucapkan selamat bercuti. Insya Allah, kita akan berjumpa lagi pada semester yang akan datang di kampus baru, di bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Semoga tuan/puan selamat pulang dan selamat kembali ke kampus. Hati-hati di jalan raya.

Bagi semua warga institut, pada malam 9 November 2012, kita akan mengadakan majlis makan malam di dewan besar institut, sempena jubli emas. Ini adalah majlis terakhir kita di kampus ini. Saya sangat berharap semua pensyarah, staf bukan akademik dan pelajar tahun akhir dapat hadir di majlis tersebut.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban kepada seluruh warga institut khususnya mereka yang beragama islam. Hari raya korban jatuh pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012.

Wednesday, 15 August 2012

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

Hanya tinggal beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ini bermakna puasa Ramadhan juga tinggal beberapa hari lagi. Kini, kita umat Islam berada dalam sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak di mana satu malam daripadanya merupakan malam lailatul kadar. Berhubung dengan pernyataan ini, saya ingin menarik perhatian kepada dua (2) persoalan asas. Pertama, mengapa puasa tersebut disyariaatkan satu bulan, tidak setengah bulan, dua bulan atau bilangan yang lain? Mengikut kajian, fitrah manusia jika sesuatu perkara dibuat secara berterusan selama 30 hari tanpa henti, probabiliti ia berterusan menjadi amalan yang rutin sangat tinggi. Kedua, mengapa malam lailatul kadar itu berada dalam sepuluh hari terakhir, tidak di amal atau di pertengahan bulan Ramadhan. Bagi menjawab persoalan ini, saya ingin merujuk satu teori fizik iaitu sesuatu yang cepat panas akan cepat sejuk. Jika malam lailatul kadar itu pada awal Ramadhan, maka saya percaya, ramai umat Islam akan berlumba-lumba atau dengan kata yang mudah, bekerja kuat di luar kebiasaan untuk mendapatkan fadhilat malam tersebut. Ini bukan sahaja boleh memudaratkan umat Islam, terutamanya kumpulan yang berumur lanjut malah fenomena cepat panas dan cepat sejuk boleh berlaku. Momentum amalan terbaik tidak kekal malah akan mengurang. Indahnya pendidikan yang dianjurkan oleh islam.

Sempena dengan Hari Raya Aidil Fitri ini, saya memohon maaf zahir dan batin kepada semua warga IPG Kampus Pendidikan Teknik. Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Selamat Bercuti. Hati-hati di jalan raya.

Friday, 20 July 2012

RAMADHAN ALMUBARAK

Esok, 21 Julai 2012, umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ramadhan. Sempena dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Puasa Ramadhan kepada seluruh warga institut yang beragama Islam. Bersyukur kita kerana kita dipanjangkan umur dan diizinkan oleh Allah untuk menjalankan ibadah puasa pada tahun ini. Marilah kita bersama-sama melapangkan dada dengan niat yang ikhlas serta azam untuk menyemarakkan aktiviti harian kita pada bulan ini selaras dengan tuntutan puasa tersebut. Semuga amalan yang baik itu, kita teruskan pada bulan-bulan yang lain. Amin.

Thursday, 12 January 2012

UCAPAN PENGARAH IPGKPT

Saya mengucapkan selamat kembali ke kampus dan memulakan pengajian semester 2 tahuan 2012 kepada Pensyarah dan pelajar IPGK Pendidikan Teknik. Saya juga ingin merakamkan tahniah dan selamat datang kepada 19 orang pelajar baru program PPISMP bidang Pendidikan Seni Visual. Saya berharap semua pihak tanpa mengira yang lama atau yang baru, sama-sama berkerja dalam satu pasukan untuk memastikan IPGK kita cemerlang dan menjadi IPG contoh. Saya juga ingin  merakamkan tahniah kepada 255 orang pelajar kita pelbagai bidang dan program telah lulus dan dianugerahkan   Diploma di majlis konvokesyen yang dijadualkan pada 10 hingga 13 Julai ini di Purajaya. Terima kasih kepada semua warga IPGK Pendidikan Teknik khususnya para pensyarah kerana telah menunaikan amanah mendidika pelajar tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab, sabar, dedikasi, berhemah dan bijaksana.