Kita sudah di penghujung
semester, peperiksaan akhir akan bermula pada 26 Oktober dan semester sekarang
akan berakhir pada 9 November. Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan.
Mudah-mudahan semua akan lulus. Para pelajar semester akhir dan mereka yang
lulus akan meninggalkan institut ini untuk memasuki alam pekerjaan. Sebelum
ditempatkan, tuan/puan perlu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
(SPP). SPP akan menemuduga tuan/puan untuk dinilai. Mereka yang berjaya akan
ditempatkan di sekolah mengikut keperluan/kekosongan. Justeru, tuan/puan perlu
melengkapkan diri dan bersedia untuk menghadiri temuduga tersebut. Kita harus
bersikap positif, tidak kira di mana kita ditempatkan, yang penting kita dapat
berbakti mendidik para murid kita. Didiklah murid tuan/puan dengan kasih
sayang. Itulah adalah ibadah. Semuga tuan/puan akan terus maju jaya sebagai
guru.
Pada pagi 9 November, kampus akan
menganjurkan satu program khas untuk pelajar semester akhir. Program persediaan
sebelum meninggalkan kampus, dan berkhidmat di sekolah. Saya harap semua akan
hadir kerana ianya amat berguna untuk tuan/puan melangkah ke alam kerjaya guru.
Bagi mereka yang bukan di
semester akhir, saya ucapkan selamat bercuti. Insya Allah, kita akan berjumpa
lagi pada semester yang akan datang di kampus baru, di bandar Enstek, Nilai,
Negeri Sembilan. Semoga tuan/puan selamat pulang dan selamat kembali ke kampus.
Hati-hati di jalan raya.
Bagi semua warga institut, pada
malam 9 November 2012, kita akan mengadakan majlis makan malam di dewan besar
institut, sempena jubli emas. Ini adalah majlis terakhir kita di kampus ini.
Saya sangat berharap semua pensyarah, staf bukan akademik dan pelajar tahun
akhir dapat hadir di majlis tersebut.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan
selamat menyambut hari raya korban kepada seluruh warga institut khususnya
mereka yang beragama islam. Hari raya korban jatuh pada hari Jumaat, 26 Oktober
2012.
No comments:
Post a Comment