Sunday, 28 October 2012

UCAPAN AKHIR TAHUN 2012


Kita sudah di penghujung semester, peperiksaan akhir akan bermula pada 26 Oktober dan semester sekarang akan berakhir pada 9 November. Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan. Mudah-mudahan semua akan lulus. Para pelajar semester akhir dan mereka yang lulus akan meninggalkan institut ini untuk memasuki alam pekerjaan. Sebelum ditempatkan, tuan/puan perlu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). SPP akan menemuduga tuan/puan untuk dinilai. Mereka yang berjaya akan ditempatkan di sekolah mengikut keperluan/kekosongan. Justeru, tuan/puan perlu melengkapkan diri dan bersedia untuk menghadiri temuduga tersebut. Kita harus bersikap positif, tidak kira di mana kita ditempatkan, yang penting kita dapat berbakti mendidik para murid kita. Didiklah murid tuan/puan dengan kasih sayang. Itulah adalah ibadah. Semuga tuan/puan akan terus maju jaya sebagai guru.

Pada pagi 9 November, kampus akan menganjurkan satu program khas untuk pelajar semester akhir. Program persediaan sebelum meninggalkan kampus, dan berkhidmat di sekolah. Saya harap semua akan hadir kerana ianya amat berguna untuk tuan/puan melangkah ke alam kerjaya guru.

Bagi mereka yang bukan di semester akhir, saya ucapkan selamat bercuti. Insya Allah, kita akan berjumpa lagi pada semester yang akan datang di kampus baru, di bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Semoga tuan/puan selamat pulang dan selamat kembali ke kampus. Hati-hati di jalan raya.

Bagi semua warga institut, pada malam 9 November 2012, kita akan mengadakan majlis makan malam di dewan besar institut, sempena jubli emas. Ini adalah majlis terakhir kita di kampus ini. Saya sangat berharap semua pensyarah, staf bukan akademik dan pelajar tahun akhir dapat hadir di majlis tersebut.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban kepada seluruh warga institut khususnya mereka yang beragama islam. Hari raya korban jatuh pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012.